Impian Dan Perancangan Pondok Kecil

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Impian Dan Perancangan Pondok Kecil. Awal pagi dikala jauh dari kesibukan kerja, terdetik dihati untuk mencoretkan sedikit nukilan buat tatapan rakan blogger. Nukilan bersahaja untuk menyelesaikan tugasan kedua berkenaan dengan perancangan dan impian seseorang dalam tempoh masa 3 tahun akan datang. Satu tugasan yang memerlukan ketelitian dalam penulisan agar cerita yang ingin disampaikan dapat difahami oleh rakan blogger. Mungkin dalam entri ini, akan menjawab segala persoalan yang terdetik dihati rakan blogger sekalian berkenaan dengan slogan pondok kecil iaitu Di Sini Impian Bermula.

Setiap mereka yang bergelar blogger, aku percaya mereka mempunyai impian. Kalau tak ada impian, mana mungkin terhasilnya sesuatu blog. Tak kiralah impian itu besar atau kecil, semuanya di bina atas satu impian. Di antara beribu impian yang disemat, mungkin terdapat satu impian yang ingin menjadi kenyataan. Semua manusia tidak mempunyai kelebihan dalam memenuhi kesemua impian mereka. Mahukan rumah besar, mahukan kereta besar, mahukan gaji besar, mahukan kehidupan yang mewah dan pelbagai lagi, namun berapa kerap sahaja yang berjaya melengkapkan kesemuanya. Dan semua impian yang disemai itu, jika tidak dibajari dengan usaha dan perancangan yang rapi, ia ibarat angan-angan Mat Jenin sahaja. Bak kata pujangga “ Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Di Sini Impian Bermula adalah cetusan idea aku sendiri. Dipersetujui pula oleh isteri aku. Tidak memanipulasi mana-mana slogan dan ia direka bersesuaian dengan kehendak dan impian aku. Pondok Kecil pula diberi nama berdasarkan kediaman yang aku diami sekarang ini. Dan kata-kata Luar Setinggan Dalam Kondo, Apa Nak Heran adalah kata-kata yang dipetik dari seorang sahabat. Suatu hari, sahabat aku datang ke rumah. Pada masa tu, kebetulan musim durian. Rumah yang aku diami sekarang adalah rumah mertua dan mempunyai beberapa jenis pokok buah-buahan. Kebiasaanya apabila tiba musim durian, memang halaman rumah akan bersepah dengan kulit durian. Dicampur pula dengan rumput rampai yang menghijau menghiasi kesemakan pandangan mata. Aku bukan malas mengemas tapi ruang masa yang  ada amat terhad.

Dari pandangan itulah sahabat berkata-kata. Rumah ke apa ni?

Dan aku macam biasa buat bodoh jer dengan kata-kata tu. Terus mempelawa sahabat masuk ke rumah. Tak sampai 5 minit duduk di sofa, keluar la ayat ni dari mulut beliau. Emm luar setinggan dalam kondo, apa nak heran. Hahahaha. Terus aku gelak. Terima kasih sahabat di atas kata-kata itu.

Begitulah sedikit kisah berkenaan dengan kata-kata keramat di halaman pondok kecil. Aku tak nak cerita panjang berkenaan dengan penubuhan pondok kecil. Pengalaman membina pondok kecil telah aku lakarkan dalam tugasan pertama hari tu. Tugasan kedua ni akan aku fokuskan kepada impian dan perancangan pondok kecil untuk tempoh masa 3 tahun dari sekarang. Walaupun dalam tugasan pertama banyak kekurangan berkenaan dengan objektif dan skop tugasan, namun akan aku perbaikinya pada tugasan kedua ini. Biarlah ia berjalan seiring kerana kedua-dua tugasan ini akan menuju kepada satu destinasi yang sama.

Impian Pondok Kecil

Sebelum penubuhan blog pondok kecil, aku ada sematkan beberapa impian. Diantara kebanyakan impian itu, ada satu impian sahaja yang mendorong aku untuk membina halaman pondok kecil. Dalam ruangan ini aku ceritakan segalanya bagaimana impian aku diperolehi. Seawal menggunakan domain percuma sehinggalah aku menggunakan domain berbayar, semuanya mempunyai jalan cerita yang tersendiri. Dan jalan cerita ini, tidaklah sehebat jalan cerita novel Seindah Sakura.

Seawal aku membuat blog adalah dengan menggunakan domain percuma, iaitu pictb.wordpress.com. Domain yang diberi nama pictb adalah singkatan daripada Perkhidmatan ICT Bergerak. Impian yang diletakkan di halaman pictb.wordpress.com ini adalah, aku nak berkongsi segala hal yang berkaitan dengan masalah komputer disamping mencari pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan aku. Pada ketika itu, perkhidmatan yang aku tawarkan adalah berkaitan dengan membaikpulih perkakasan komputer. Diselitkan juga dengan Perkhidmatan Sistem Rangkaian Setempat (LAN). Entah mana silapnya, akhirnya impian aku ini terkubu begitu sahaja. Flayers yang diedarkan dalam akhbar juga tidak berjaya menarik perhatian pelanggan. Daripada berpuluh-puluh flayer yang diedarkan, seorang sahaja yang memberi respon.

Alhamdulillah ada juga yang sudi mencuba perkhidmatan aku. Ringgit Malaysia yang aku perolehi untuk perkhidmatan itu adalah RM10. Tolak duit minyak kereta ke rumah pelanggan, tinggal RM5. Tolak kredit telefon tinggal RM3. Mungkin waktu itu aku kurang mahir berkenaan dengan selok belok perniagaan macam ni. Kebetulan selepas itu, telefon aku pula buat hal. Terus terbantut impian aku untuk bertahan dengan Perkhidmatan ICT Bergerak ni. Walaubagaimanapun, perjalanan blog pictb.wordpress.com masih lagi berjalan seperti biasa.

Hari berganti hari, masa berganti masa. Impian yang dahulunya jelas kini mulai suram. Selepas menerima komen (agak sukar nak tinggalkan komen dalam blog aku masa tu) dari pelawat berkenaan dengan setiap entri yang dihasilkan, aku rasa sungguh gembira. Satu persatu artikel berkenaan dengan masalah komputer susut dari halaman blog. Di gantikan dengan kisah kehidupan. Contest pertama yang aku sertai pada waktu itu adalah contest En. Titan. Contest SEO yang menggunakan katakunci Lelaki Kacak. Semakin hari semakin gembira bersama blog pictb. Dan masa itu juga, contest gadjet impian tengah hangat berlangsung. Siapa lagi kalau bukan blog denaihati yang anjurkan.

Aku tak tahu kat mana silapnya. Blog pictb.wordpress.com amat sukar untuk pelawat tinggalkan komen. Akhirnya atas inisiatif sendiri dan inginkan lebih ramai kaki komen, aku telah nekad untuk menggunakan domain berbayar. Terima kasih puanbee atas rungutan tersebut. Haha. Maka lahirlah blog pondokkecil.com.

Haha. Komen dari puanbee.

Maka, sah la impian aku bersama pondok kecil adalah untuk mendapatkan bilangan kaki komen sebanyak mungkin. Ini adalah impian aku dan InsyaAllah tak akan berubah sampai bila-bila. Adakah ini dikira sebagai impian juga? Aku tahu impian aku ni amat tidak logik kan. Tidak mengapa kalau korang semua tersenyum tatkala membaca peranggan ni. Aku sedikit pun tak berkecil hati. Malah aku berbesar hati mempunyai impian macam ni. Banyak kelebihan yang aku dapat apabila ditanamkan impian sebegini. Dengan satu usaha untuk mengejar impian ini, aku boleh wujudkan beberapa kelebihan.

Haha. Aku sendiri pun malu dengan impian aku ni. Harap korang tak gelak besar yer. Hehehe.

Perancangan Pondok Kecil Untuk Merialisasikan Impian – 3 Tahun Dari Sekarang

Setiap impian yang dibina, mestilah disusuli dengan beberapa perancangan agar impian itu mencapai matlamatnya. Sebagai contoh, perjalanan pulang untuk berhari raya. Rancang perjalanan bagi mengelakkan anda terlibat dalam kesesakan lalu lintas. Begitu juga impian. Rancang dan rangka beberapa strategi agar perjalanan impian itu sentiasa kemas dan teratur.

Dalam mencapai impian untuk mendapatkan bilangan kaki komen sebanyak mungkin, aku sebenarnya tidak membuat perancangan yang khusus. Perancangan sediada masih belum mencukupi untuk merialisasikan impian aku. Mungkin juga disebabkan oleh kekangan masa, kekangan kerja dan komitmen lain lagi membuatkan aku sedikit terleka untuk membuat perancangan yang khusus.

Tempoh masa 3 tahun yang diberikan untuk mencapai sesuatu impian, agak lama juga. Bagi mereka yang mempunyai impian untuk menjana pendapatan mungkin tempoh masa ini amat sesuai. Bagi aku yang mempunyai impian sebegini, aku cuma letakkan satu angka sahaja untuk dicapai 3 tahun dari sekarang. Apa yang aku mahukan adalah jumlah komen di halaman pondok kecil adalah sebanyak 100,000 komen. Tidak termasuk komen tuan punya badan pondok kecil. Mungkin angka yang aku letakkan ni amat terlampau di mata korang semua. Tapi itulah hakikat yang perlu aku terima dan aku usaha agar betul-betul terhasil. Memang angka 100,000 ini, lambat laun akan tercapai juga. Berdasarkan status blogger sambilan macam aku ni, memang berbaloi andai angka sebegitu boleh dicapai dalam masa 3 tahun lagi.

Diantara perancangan yang telah aku buatkan adalah seperti berikut :-

Perancangan Pertama

Sehari melawat 20 blog rakan blogger. Satu blog, tinggalkan sekurang-kurangnya tuliskan lima komen di setiap entri yang berlainan.

Secara positifnya, mereka yang melawat halaman pondok kecil akan melakukan perkara yang sama sepertimana aku lakukan. Dan sari situ, boleh lah aku membuat sedikit pengiraan.

Ini adalah perkiraan untuk mengejar impian aku.

Peracangan Kedua

Mengadakan sekerap mungkin giveaway/contest sepanjang tempoh tiga tahun. Aku percaya dengan cara ini boleh mempercepatkan lagi untuk  aku merealisasikan impian aku. Setiap penyertaan mestilah meninggalkan pautan di ruangan komen di bawah entri berkenaan. Dan bagi aku cara ni tidak ekonomi sangat untuk blogger baru seperti aku. Andaikata pendapatan blog pondok kecil setiap bulan boleh menampung segala kos giveaway/contest tersebut, mungkin berbaloi juga. Dengan cara ini, sedikit sebanyak akan membuatkan kekasih hati, Alexa makin menyayangi laman pondok kecil.

Perancangan Ketiga

Menghasilkan isi kandungan dan jalan cerita yang menarik yang mana boleh memukau hati pembaca. Memang perancangan yang ketiga ini, amat sukar untuk aku laksanakan. Apabila seseorang itu berbakat dalam menghasilkan corak penulisan yang kreatif, secara tidak langsung perancangan pertama dan kedua boleh diabaikan. Sekali pelawat singgah, hati terus terpaut. Dan kebarangkalian untuk pelawat singgah kali kedua di halaman blog amat tinggi.

Sama macam penulisan blog ariffshah. Gaya penyampaian yang santai membuatkan aku selalu singgah membaca. Walaupun hakikatnya beliau tak pernah meninggalkan komen di ruangan pondok kecil. Aku tak kisah semua tu. Sebab aku tak minta sebarang simpati. Hehe. Contoh diberi hanya untuk memperkukuhkan lagi pernyataan diatas agar korang semua memahaminya. Haha.

Aku rasa ini sahaja yang dapat aku ulaskan berkenaan dengan impian dan perancangan pondok kecil dalam masa 3 tahun akan datang. Berkenaan dengan impian aku tu, korang jangan fikir mendalam sangat yer. Aku tahu impian aku ni tak masuk akal. Kan tak pasal-pasal ada yang kena migrain. Tak berbaloi rasanya. Hehe. Entah apa la kan komen korang nanti berkenaan dengan entri aku ni. Tak kira lah positif ataupun negatif komen korang tu, jangan lupa tuliskan dalam ruangan yang betul yer. Agar bertambah bilangan kaki komen pondok kecil, sekaligus mempercepatkan lagi proses merealisasikan impian aku tu. Hehe.

35 thoughts on “Impian Dan Perancangan Pondok Kecil”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *