Kehidupan Di Alam Percintaan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Kehidupan di alam tadika yang aku tempuhi penuh dengan bunga-bunga cinta. Bunga-bunga cinta yang bercambah tanpa aku sirami dengan baja-baja cinta. Yang aku tahu, perasaan itu wujud secara semulajadi. Minggu pertama di alam tadika memang tidak dinafikan. Perasaan berbaur kesedihan itu sentiasa ada dikala aku merenung langkah-langkah terkahir mama sehingga hilang dari pandangan mata. Mata yang seakan leka dengan setiap hayunan kaki mama itu, membuatkan kotak fikiran sentiasa berfikir. Dan diselitkan juga dengan beberapa persoalan.

Kenapa mama tinggalkan aku di sini? Kenapa mama tak tunggu aku?

Dan setiap kali persoalan itu muncul, ia diserikan lagi dengan kenangan dan memori indah semasa berada di rumah bersama mama. Waktu pagi, biasanya mama akan menyapu halaman rumah. Sambil aku bermain bermain dengan permainan aku. Lori dan case sentiasa menjadi peneman setia di kala aku memerlukan. Sekali sekala jelingan mata mama itu mengganggu emosi aku untuk bermain. Atas setiap kesalahan yang aku lakukan, mama tak pernah marah aku, tak pernah pukul aku. Sebaliknya memberi nasihat dengan kata-kata yang penuh dengan kelembutan. Itulah cara nasihat yang sebaik-baiknya untuk mendidik anak.

Aku tersentak dari lamunan. Kenangan dan memori indah yang bermain dalam fikiran aku, hilang begitu sahaja. Teguran cikgu tadika telah membantutkan emosi aku untuk terus berkhayal. Kacau stim jer cikgu ni. Maka bermulalah sesi perkenalan di antara satu sama lain. Dan mata aku sentiasa merenung ke luar tingkap menantikan kehadiran mama. Sungguh menyeksakan jiwa setiap kali renungan aku itu, tidak menampakkan tanda yang mama akan datang.

Minggu kedua persekolah kesedihan aku makin hilang, dan terus hanyut dari fikiran. Sejak dari itu, aku makin aktif dan aku berani untuk kesana-kesini. Bermain alat permainan yang disediakan sedikit sebanyak telah menjadi penawar untuk kesedihan ini. Sejak dari itu juga, aku telah mengenali insan yang bernama Fatimah. Fatimah seorang yang pendiam, tak banyak ragam dan setiap yang cikgu suruh, cepat jer dia siapkan. Mungkin kelebihan yang terdapat pada Fatimah itu yang membuat hati aku terpaut.

Nak kata cantik tu, boleh la. Masa tu budak-budak mana pandai nak pakai lawa-lawa lagi. Nak pakai wangi-wangian lagi lah tak pandai. Budak kampung kan. Kalau ada bau wangi pun pagi tu jer. Bila dah masuk tengahari, hilang la kewangian tu. Aku selesa berkawan dengan Fatimah. Sebelum aku mengenali Fatimah, aku sangkakan Fatimah ni seorang yang sombong. Tapi bila dah berminggu-minggu, berbulan-bulan, rupanya Fatimah ni seorang yang periang. Dan Fatimah banyak celotehnya dari aku. Mulutnya sentiasa ada jer soalan. Sekali cikgu kata macam tu, sekali dia persoalkan.

Setiap kali persoalan yang Fatimah ungkapkan, senyuman sentiasa terukir di bibir aku. Senyuman untuk memberikan semangat pada Fatimah. Mungkin juga senyuman yang menggoda buat Fatimah. Namun Fatimah sentiasa fokus dan seolah-olah tahu yang aku sedang memikat hati dia. Sedangkan aku tiada niat pun nak pikat hati dia. Aku cuma selesa berkawan dan bergaul dengan dia.

Selang beberapa minggu, aku sudah berani ke sekolah sendirian. Tanpa ditemani oleh mama. Begitu juga Fatimah. Jalan pergi dan balik dari tadika sehaluan dengan Fatimah. Cuma jarak yang menjadi ukuran. Jarak rumah Fatimah lebih dekat berbanding jarak ke rumah aku. Tapi titik pertemuan dan perpisan sentiasa ada. Cabang tiga sekolah rendah berdekatan dengan rumah Fatimah sentiasa menjadi titik pertemuan dan perpisahan antara kami berdua. Setiap pagi aku dan Fatimah akan berjumpa di cabang tiga itu. Sekiranya aku lambat, Fatimah akan tunggu dan sebaliknya dengan aku.

Wahh sungguh romantis perjalanan hidup aku bersama Fatimah. Waktu tu aku tak tahu lagi apa ertinya Cinta. Apa ertinya kekasih. Cuma yang aku tahu, aku bersemangat bangun pagi untuk ke tadika adalah kerana budak Fatimah ni. Namun kebahagiaan yang aku miliki tak lama bertahan. Dan kejadian hari tu masih lagi segar dalam hidup aku ni…..

p/s : To Be Continued….

21 thoughts on “Kehidupan Di Alam Percintaan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *