Penyamun Cintaku

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Buat tatapan manja Piah binti Deris.

Apa khabar sekarang? Macam mana kehidupan Piah sekarang? Dah lama kan kita tak bersua. Mat harap Piah sihat selalu disamping keluarga tersayang. Mat kat sini sihat sejahtera. Makan lalu, tidur lena dan mandi pun basah. Walaupun hati sedang dilanda rindu pada Piah, namun selera makan Mat bertambah-tambah semenjak Piah tinggalkan Mat keseorang di Kampung Felda Tenang ni.

kisah penyamun cintaku

Walaupun makan, tidur dan mandi tidak mengganggu kehidupan Mat sekarang ini, namun Mat masih terkenangkan akan wajah Piah yang cute tu. Wajah yang Mat geram selalu. Nak cubit-cubit aje pipi Piah. Ada sekali tu, Mat tersalah cubit pipi mak. Mat ingatkan pipi Piah dah. Tak pasal-pasal makan penampar 5 jari mak. Sakit. Tapi tak apalah. Sekurang-kurangnya Mat dapat jumpa Piah walaupun dalam mimpi. Ia tetap kenangan indah buat Mat.

Walaupun dah bertahun Piah pergi meninggalkan Mat di sini, namun aura dan wangian Piah masih segar dalam ingatan Mat. Sesaat pun Mat tak boleh nak lupakan bau Piah yang harum tu. Pernah sekali, Mat pergi ke bendang padi. Tempat biasa kita lepak dulu. Lama juga Mat melayan perasaan. Tiupan angin petang yang sempoi-sempoi bahasa, menambahkan lagi kerinduan Mat pada Piah. Ada ketika, bau-bauan Piah melekat di lubang hidung Mat. Toleh kanan ada bau Piah. Toleh kiri ada bau juga. Toleh belakang pun ada bau Piah. Sekeliling badan Mat ada bau Piah. Bau Piah ni lah yang membuatkan Mat selalu mimpi. Mimpikan kita Piah.

kisah penyamun cintaku

Pernah sekali tu Mat menjerik…

“Piah!!! Jangan biarkan wangianmu….”

Betul Piah. Jangan biarkan wangianmu terus menyeksa lubang hidung Mat. Mat harap Piah faham. Dah bertahun Piah meninggalkan Mat. Tapi wangian Piah masih lagi mekar dan segar melekat di hidung Mat. Sampai satu tahap, seluruh minda Mat pun dipenuhi dengan bau Piah. Seksa Mat menanggungnya.

“Piah… Mat betul-betul rindukan Piah.”

“Piah, Mat akan curi hati Piah. Mat akan samun senyum Piah. Akan Mat culik cinta Piah.”

kisah penyamun cintaku

Macam lirik dalam lagu Pencuri nyanyian Mark Adam tu. Mat nak culik cinta Piah. Macam orang lain curi cinta Piah dari Mat. Memang nak kena betul la si Hamla yang menjadi penyamun cintaku. Seksanya hanya Mat sahaja yang rasa. Mungkin Piah tak perasan sebenarnya. Sebenarnya Mat dah lama sukakan Piah. Dari dulu lagi Piah. Mat cuba untuk simpan hati ini dari jatuh cinta pada Piah. Sejak dari tingkatan satu lagi Mat jatuh hati pada Piah. Masa tu kita naik bas ke sekolah pun sama-sama. Makan kat kantin sekolah pun sama-sama. Jarang sekali kita berpisah bila loceng rehat berbunyi.

Dulu… Masa makan kat kat sekolah, Piah selalu senyum depan Mat. Dan senyuman Piah tu kadang kala membuatkan fokus Mat tergendala. Kelakuan Mat tak keruan. Dan bila Mat berperangai pelik macam tu, Piah ketawa terbahak-bahak. Tak sempat Mat nak pejamkan mata melihat aksi Piah ketawa tu. Tutup telinga lagi lah tak sempat. Walaupun suara Piah lembut, tapi buruk bunyinya bila Piah ketawa sakan macam tu.

Dan… Bila Mat berjaya mencuri hati Piah, Mat akan akan kembalikannya semula. Masa tu, mungkin Mat akan sediakan satu kontrak cinta. Dokumen yang mengandugi kata-kata dan ayat-ayat cinta untuk kita bersama. Untuk sehidup dan semati melayari bahtera cinta yang entah bila ada penghujungnya.

Piah, balik la. Bila Mat dengar lagu Pencuri nyanyian Mark Adam tu, Mat rasa semakin seksa. Adakah Piah pun ada menyimpan perasaan macam ni bila dengar lagu tu?

Ok lah Piah. Mat nak undurkan diri dulu. Setakat ini sahaja yang Mat mampu tulis. Mat harap Piah berbahagia bersama insan yang Piah pilih. Andai tak ada jodoh kita, jangan sesekali Piah utuskan undangan perkahwinan Piah. Jujur…. Mat tak sanggup nak hadapinya. Gambar semua ni, bukan Mat yang ambilkan. Mat dapatkannya dalam laman Pak Cik Google.

Sekian,

Pecah kaca pecah gelas,
Lepas baca sila balas.

Yang benar.

Mat bin Semaon.
Tatapan Manja Lelaki Romantik

57 thoughts on “Penyamun Cintaku”

  1. Betul la ni surat cinta hehe, suka bab bau wangi tu, sebab bau tu dapat mengingatkan kita pada seseorang. Mcm hari tu, sy pakai minyak wangi dan seorang staff tempat kerja tegur sy, dia kata bau sy mcm bau suami dia, huhu. bahaya sungguh penangan minyak wangi ni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *